Pilihanraya Umum Negeri Sarawak Ke-11: Antara Retorika Politik Dan Masa Depan Rakyat

Pilihanraya Umum Negeri (PRU Negeri) Sarawak Kali Ke-11 baru melabuhkan tirainya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kepada semua pemenang yang bertanding terutama sekali kepada “Team Adenan” yang Berjaya memperolehi penguasaan kerusi yang lebih besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk tempoh 5 tahun yang akan datang. Bagi yang tewas, baik parti politik pembangkang tempatan ataupun pakatan politik pembangkang semenanjung, tentu banyak sekali perkara yang harus dimunasabah.

Apa yang menarik dalam PRU Negeri kali ini adalah penyertaan sulung Parti Amanah Negara (AMANAH) setelah hanya baru 8 bulan diwujudkan sebagai parti politik bongsu di Malaysia. Walaupun ini merupakan pilihanraya pertama bagi AMANAH, namun penyertaan AMANAH dalam PRU Negeri ini disifatkan sebagai ‘berani dan bergaya’ atas beberapa faktor. Faktor-faktor ini juga merupakan suatu yang yang harus diberikan perhatian yang sewajarnya oleh para pemain dan pemerhati politik dalam negara.

Yang pertama adalah keberanian AMANAH untuk meletakkan seramai 13 calon di 13 kerusi yang ditandingi. Berbanding dengan PAS yang sudah menjangkau usia puluhan tahun yang hanya bertanding 11 kerusi, sudah pasti keputusan AMANAH yang baru berumur 8 bulan tersebut adalaha suatu tindakan yang berani!

Yang kedua adalah inisiatif AMANAH yang meletakkan barisan calon anak tempatan yang mewakili latarbelakang yang pelbagai. Daripada aktivis dakwah, pejuang masyarakat hingga wakil suku kaum. Daripada wanita, anak muda, golongan profesional hinggalah orang kelainan upaya (‘OKU’) yang mana telah diiktiraf sebagai yang pertama berlaku dalam sejarah pilihanraya Malaysia!

Yang ketiga adalah kesiap-siagaan AMANAH yang menghantar jentera-jentera dari semenanjung untuk membantu rakan-rakan tempatan mereka memperkuatkan kempen dengan peruntukan yang sangat terhad berdepan dengan media, jentera kerajaan dan difahamkan juga bajet tidak terbatas Barisan Nasional (BN).

Yang keempat adalah usaha AMANAH untuk memformulasikan ‘7 Tawaran AMANAH’ kepada rakyat Sarawak dalam masa yang singkat jika dibandingkan dengan ‘Impian Sarawak’ DAP dan ‘Demi Sarawak’ PKR yang telah lama bertapak di Bumi Kenyalang. 7 tawaran AMANAH tersebut adalah berkisar kepada menjadi pembangkang yang kuat, reformasi pentadbiran tanah, mengembalikan industri hiliran kepada anak Sarawak sehingga menuntut 20 peratus rolyalti minyak daripada kerajaan persekutuan.

Yang kelima adalah walaupun AMANAH kalah dalam semua kerusi yang ditandingi, tetapi AMANAH masih Berjaya mengembalikan deposit pilihanraya di 4 kerusi iaitu Kabong, Balingian, Semop dan Gedong yang ditandingi oleh Rapelson Richard Hamit yang merupakan seorang anak muda dan OKU!

Yang keenam adalah undi popular AMANAH yang hanya merupakan bayi politik berumur 8 bulan dan asing di Sarawak adalah sebanyak 1.24 peratus manakala PAS, sekali lagi yang hampir menjangkau usia pencen bagi seorang kakitangan awam hanya di paras 1.7 peratus sahaja malah parti-parti politik lokal seperti PBDSB dan STAR pun masing-masing hanya popular setakat 0.16 dan 0.37 peratus sahaja!

Yang ketujuh dan paling berani dan bergaya adalah AMANAH berkempen tanpa kehadiran pemimpin utamanya sendiri iaitu Mohamad Sabu yang telah dihalang secara tidak wajar oleh kerajaan negeri daripada memasuki Sarawak.

Namun, yang menjadi keprihatinan saya bukanlah sangat kepada soal teknikal dan taktikal dalam PRU Negeri kali ini tetapi lebih kepada suasana dan semangat bagaimana kempen pilihanraya ini dijalankan. Satu kebimbangan timbul bila mana saya mula menjejakkan kaki di Sarawak tidak berapa lama sebelum menjelang PRU Negeri. Suasana yang saya rasakan begitu asing walaupun berada di dalam salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Wawi Sarawak 1

Masakan saya tidak merasakan asing kerana sepanjang saya berada di Bumi Kenyalang ini, saya mendapati banyak pelekat-pelekat kereta yang membawa slogan “Sarawak for Sarawakian” (Sarawak untuk rakyat Sarawak). Terdapat juga poster-poster ditampal di pasaraya yang mewar-warkan wacana dan syarahan bertemakan kajian semula mengenai kedudukan Borneo dalam Malaysia. Berlaku juga di hadapan mata saya sendiri bagaimana seorang rakyat Sarawak mengatakan kepada saya dengan nada yang sangat marah, “Kamu orang semenanjung suka buat kacau di Sarawak!..”.

Lebih menyedihkan lagi bila mana menjelang PRU Negeri, kerajaan negeri telah bertindak pula menyalahgunakan kuasa imigresennya dengan mengehadkan malah menyekat kemasukan pemimpin-pemimpin Utama Pembangkang ke Sarawak. Mangsa pertama adalah Presiden AMANAH sendiri, Mohamad Sabu. Yang kedua adalah 2 orang pimpinan utama Pemuda AMANAH Nasional. Mereka langsung tidak dibenarkan untuk memasuki dan berada di Sarawak seawal hari penamaan calon sehinggalah hari pembuangan undi. Rakan-rakan parti komponen Pakatan Harapan turut tidak terkecuali. Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng telah dihadkan sehingga tempoh tertentu untuk berada di Sarawak. Nurul Izzah Anwar sendiri langsung tidak kelihatan.

Saya sendiri telah mengeluarkan 6 kenyataan media di bawah Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH dan 1 kenyataan media atas kapasiti sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional khusus berkenaan dengan PRU Negeri ini antaranya menyeru supaya kerajaan negeri menghormati hak warganegara untuk bergerak dalam Persekutuan sepertimana yang dijamin oleh Perkara 9 Perlembagaan dan memastikan supaya demokrasi pilihanraya dapat berjalan dengan baik di Sarawak. Malah, apabila melihat halangan tersebut sudah menjadi agak keterlaluan, saya mendesak kerajaan negeri supaya menghormati hak rakyat Sarawak untuk membuat pilihan tanpa kongkongan mana-mana pihak dan mengingatkan kerajaan negeri bahawa larangan keterlaluan tersebut jelas sekali bercanggah dengan peruntukan seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63. Walaubagaimanapun, kerajaan negeri masih terus berdegil dan masih menghalang kemasukan bukan sahaja pemimpin-pemimpin parti pembangkang malah jentera-jentera parti turut terkesan yang mana halangan tersebut saya kira turut menjejaskan sebahagian usaha kempen kepada rakyat.

Daripada sudut pandang yang berbeza, saya melihat bahawa selain daripada retorika-retorika politik yang merbahaya dan boleh menjejaskan raison d’etre Persekutuan itu sendiri, PRU Negeri Sarawak juga langsung tidak membawa apa-apa kemajuan kepada rakyat Sarawak. Kemajuan yang saya maksudkan adalah kemajuan yang substantif dan signifikan bukan sahaja dalam konteks pembangunan tetapi juga kemandirian setiap seorang individu rakyat Sarawak. Masakan tidak, sejak daripada penyertaan Sarawak membentuk Malaysia pada tahun 1963 sehingga ke hari ini, masih terdapat lagi rumah panjang yang tiada akses jalanraya, bekalan elektrik dan air bersih. Bukan itu sahaja, saya melihat bahawa masih wujud rumah pengundi Melanau yang hanya seperti rumah setinggan yang ditampal-tampal. Malah, feri mini masih lagi digunapakai untuk menghantar penumpang ke seberang yang hanya dalam jarak lebih kurang 200-300 meter yang sepatutnya sudah lama dibina jambatan untuk meningkatkan mobiliti rakyat. Jelasnya, Sarawak masih merupakan antara negeri yang termiskin di Malaysia. Namun, yang paling jelas di sini adalah Sarawak daripada tahun 1963 hingga 2016 ini bukanlah diperintah oleh parti pembangkang!

Maka saya merasakan sesuatu yang lebih mendesak dan drastik harus dilakukan demi ‘menyelamatkan’ rakyat Sarawak. Bekas Ketua Menterinya kenyang meragut bilionan harta kekayaan Sarawak tetapi rakyatnya kelaparan miskin papa kedana! Politik ‘pecah dan perintah’ BN ini harus dibanteras hingga ke akar umbi. Rakyat Sarawak mesti disedarkan bahawa Sarawak bukan sahaja milik mereka tetapi Malaysia juga milik mereka sebagaimana rakyat semenanjung merasakan bahawa Sarawak dan Sabah sangat dekat di hati mereka. Daripada “Sarawak for Sarawakian” kenapa tidak “Malaysia for Sarawakian and Sarawak for Malaysian” (Malaysia untuk rakyat Sarawak dan Sarawak untuk rakyat Malaysia)? Bukankah ianya bernada lebih inklusif dan menyatukan?

Wawi Sarawak 2

Rakyat Sarawak juga mesti dibangunkan minda dan jatidiri mereka. Mereka harus dikejutkan bahawa kebergantungan kepada sogokan kewangan yang bersifat sebentar dan sementara tidak akan dapat menyelesaikan kemelaratan mereka yang berabad lamanya. Mereka juga mesti mandiri daripada terus berpaut kepada ehsan kerajaan dalam membuat keputusan supaya bila tiba PRU Negeri yang akan datang, pertimbangan mereka untuk memilih dan mengundi tidak lagi dibayangi oleh manifesto-manifesto bulan bintang dan projek-projek “touch-n-go” mana-mana pihak.

Akhirnya, walau apapun keputusan PRU Negeri Sarawak kali ke-11 ini, apa yang pasti adalah AMANAH akan terus berada di Sarawak dan akan terus bekerja untuk masa depan rakyat Sarawak. Tidak ada istilah undur bagi AMANAH di Sarawak kecuali mansang ngelaban! Khusus buat rakyat Sarawak, terima kasih dan jutaan penghargaan kepada anda semua kerana telah membuka pintu yang seluas-luasnya kepada AMANAH untuk bertandang ke rumah anda dan dengan izin Allah SWT AMANAH akan bertanding lagi dalam PRU Negeri akan datang dan lihatlah apa yang AMANAH akan berikan kepada anda dalam tempoh 5 tahun daripada sekarang.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s